Kritikan Berasas Atau Hanya Naratif Sendiri?
Sebagai pencinta sastera, saya tidak terkejut dengan kemenangan lagu ini mahupun reaksi yang diberikan. Seorang pencinta sastera seperti saya amat menitikberatkan penulisan lirik dalam sesebuah lagu dan lpenulisan irik dalam lagu ini sangatlah baik dibandingkan dengan lagu lain yang bertanding pada waktu itu kerana kebanyakan lagu yang bertanding telah membawa tema yang sama iaitu cinta dan patah hati. Walaupun ada yang membawa tema yang berlainan daripada yang disebut, ia juga datang daripada genre hip-hop iaitu lagu 'Eh' nyanyian Zizi Kirana.
Pada 17/10/2022, saya telah masuk ke kelas yang diajar oleh salah seorang penulis terkenal dan prolifik iaitu Prof Madya. Dr. Kamariah Kamarudin. Saya agak terkejut apabila seorang sosok yang mencintakan sastera seperti beliau telah menganggap lagu 'Gila' ini tidak layak memenangi anugerah tersebut kerana tajuknya yang bersifat 'negatif'. Sebagai seorang penulis, beliau sepatutnya lebih tahu bahawa Anugerah Juara Lagu ini dinilai melalui penulisan liriknya dan bukan melalui tajuk lagu semata-mata. Selain itu, saya beranggapan mungkin beliau agak terganggu dengan hook lagu tersebut yang sering mengulang perkataan 'Gila'. Saya faham jika itu merupakan alasan beliau. Namun, sudah memang menjadi resam untuk lagu-lagu rap mempunyai unsur perulangan kerana verse dalam setiap lagu rap kebiasannya panjang bagi tujuan menceritakan sesuatu. Oleh itu, setelah verse yang panjang tersebut, ia perlu diselangi dengan hook yang bersifat agak repetitif bertujuan menjadikan lagu tersebut menarik atau dalam terma muziknya catchy.
Saya sertakan sedikit beberapa bait lirik umtuk kita renungi bersama:
Nandung-nandung lagu kampung
Angin sayu awan mendung
Tenang-tenang oh termenung
Namun jiwanya terkurung
...
Gila terkurung terlalu lama
Minda ku tak terbuka
Rasa diriku sengsara menanggung sepiku di dunia
Dunia yang nyata ternyata
Penuh dengan penipu dusta
Hati ingin rasa sangat nak keluar
Ya baru nak mula tapi jantung berdebar
Aku takut aku jatuh aku sangat takut
Walau jatuh aku tempuh aku rempuh
Ramai yang nampak aku gila
Mereka tidak tahu apa yang ku rasa
Takut dengan dunia kerna rasa diri aku ini tak sempurna
Putaran bumi pun aku boleh rasa
Sampai masanya kita jumpa diluar sana
Lirik di atas cuba untuk menyampaikan tentang penyakit mental iaitu anxiety. Antara simptom anxiety ialah jantung berdegup laju, berpeluh, berdebar serta panik dengan tiba-tiba. Apa yang kita boleh tafsir daripada lirik tersebut, penulis cuba memberitahu dunia yang keadaannya memaksa dia berkurung dan tidak bersosial. Bukan kerana dia tidak mahu ataupun anti-sosial tetapi kerana penyakit mentalnya itu telah mengehadkan keupayaannya untuk berinteraksi sesama manusia dan ia amat menyeksa jiwa orang yang mempunyai penyakit tersebut. Penulis juga cuba menekankan bahawa masyarakat menganggap orang yang mempunyai penyakit mental seperti anxiety ini dianggap gila dan oleh sebab itu, mereka yang mempunyai penyakit ini tidak mahu memberitahu dunia apa sebenarnya yang mereka rasa dan mengambil pendekatan untuk memendam apa yang mereka rasa serta mengasingkan diri daripada dunia luar.
Berdasarkan penjelasan saya terhadap lirik lagu tersebut, liriknya sangat mendalam dan menggoncang jiwa. Namun tidak diendahkan hanya disebabkan oleh tajuknya yang dianggap 'negatif'. Saya berharap, jika Dr Kamariah melihat lontaran suara dan rasa saya ini, beliau sudi untuk menerima kritikan walaupun ia datang daripada diri saya yang terlalu sikit ilmunya ini. Semoga beliau juga dapat membuka minda dan meluaskan lagi kefahaman tentang penulisan lirik lagu begitu juga dengan peminat muzik tanah air yang lain.
Ulasan
Catat Ulasan