Pemuja Parti Politik
12 Oktober 2022
Sebagai seorang yang mencintai bahasa Kebangsaan ini, saya sebagai rakyat Malaysia amat berbangga dengan usaha yang cuba dilakukan oleh beliau. Walau bagaimanapun, terdapat segelintir pihak di luar sana yang seolah-olah memperkecilkan usaha beliau dengan menganggap beliau hanya 'syok sendiri' kerana pemimpin yang hadir ketika perhimpunan itu tidak memahami apa yang disampaikannya. Lebih teruk lagi, ada juga yang menjadikan adegan beliau tidak dapat membuka penutup botol air sebagai bahan jenaka untuk menjatuhkan imejnya dikala orang lain sedang memuji usaha beliau untuk memperdaulatkan bahasa Melayu.
Hal yang demikian adalah kerana, pihak-pihak ini sudah pun ada naratif buruk di benak pemikiran mereka terhadap mantan Perdana Menteri itu. Oleh itu, apa-apa tindakan yang beliau lakukan akan dipandang serong dan mereka akan sentiasa cuba untuk mencari kesalahan walaupun sekecil zarah. Isu ini tidak lain dan tidak bukan adalah kerana jiwa mereka sudah diabdikan kepada sesebuah parti politik. Jika diperhatikan, pihak-pihak ini merupakan penyokong tegar parti pembangkang. Mungkin disebabkan mereka tidak senang akan situasi yang memperlihatkan beliau dipuji oleh orang ramai, pihak-pihak ini cuba menimbulkan isu untuk menjatuhkan beliau hanya disebabkan beliau adalah pemimpin daripada parti yang mereka tentang.
Memang benar, kerajaan pimpinan beliau bukanlah kerajaan yang baik secara keseluruhan. Walau bagaimanapun, kita tidak boleh bersikap berat sebelah dan memandang enteng setiap usaha baik yang beliau cuba lakukan dan berilah penghargaan apabila ia wajar diberikan. Berpolitik mestilah berhemah dan juga untuk tujuan yang baik. Adakah baik berpolitik dengan menjatuhkan satu dengan yang lain? Semestinya tidak. Pada pendapat saya, sebagai rakyat Malaysia, kita mestilah neutral dalam soal politik, lebih-lebih lagi dalam menyokong mana-mana parti. Hal yang demikian adalah supaya kita tidak terlampau taasub kepada sesebuah parti sahaja dan akhirnya menutup mata apabila parti yang disokong melakukan kesalahan dan sentiasa berfikir untuk menjatuhkan parti-parti lawan. Jika kita bersifat neutral, kita akan mampu berfikir dengan rasional dan tidak terburu-buru dalam menghakimi. Saya juga berpendapat dengan cara itu kita dapat memilih pemimpin yang betul-betul sesuai untuk memacu negara ke masa hadapan yang lebih baik.
Ulasan
Catat Ulasan