Bahang PRU
Ketika penulisan ini dikarang, hanya tinggal 5 hari sahaja sebelum Pilihan Raya Umum ke 15 diadakan. Kempen dari tiga parti politik utama sedang rancak dijalankan. Rakyat juga masih ada lagi yang belum nekad dengan keputusan masing-masing untuk memilih parti yang mana bagi menerajui negara untuk tempoh 5 tahun akan datang. Setelah membuat penelitian, penulis dapat membuat satu kesimpulan terhadap tiga calon utama Perdana Menteri.
Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob ialah Perdana Menteri yang kesembilan Malaysia. Walaupun tidak sampai sepenggal Malaysia dibawah pemerintahannya, banyak yang dapat kita nilai daripada aspek kewibawaannya mentadbir negara. Secara keseluruhan, beliau tidak berjaya meletakkan Malaysia pada keadaan yang terbaik selepas kemelut wabak covid-19 melanda negara. Ekonomi Malaysia merudum sehingga banyak barangan keperluan yang perlu dinaikkan harganya seperti ayam dan telur. Banyak tindakan yang diambil hasil daripada arahan Presiden UMNO iaitu Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Sebagai contoh, beliau telah membubarkan parlimen hanya setelah beberapa hari sahaja Belanjawan 2023 diluluskan. Hal yang demikian adalah untuk memenuhi permintaan Presiden UMNIO tersebut yang mahu mengekalkan pemerintahan Barisan Nasional bagi tempoh 5 tahun akan datang. Ketidakcekapan beliau menguruskan bencana banjir sehingga mengundang kemarahan rakyat apabila rakyat mewujudkan tanda pagar #KerajaanGagal juga menjadi salah satu sebab beliau boleh dianggap sebagai salah seorang Perdana Menteri yang paling tidak kompeten dalam urusan pentadbiran. Tuntasnya, dapat dilihat yang Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob hanyalah Perdana Menteri 'boneka' yang tiada pendirian, aura serta peribadi yang sesuai sebagai seorang Perdana Menteri.
Calon seterusnya ialah Tan Sri Dato' (Dr.) Haji Muhyiddin bin Haji Muhammad Yassin. Bagi penulis, beliau tidak sepatutnya diberi peluang untuk menjadi calon Perdana Menteri lagi selepas beliau mengkhianati partinya sendiri dan mengkhianati mandat rakyat dengan melakukan gerakan dari pintu belakang yang dikenali sebagai 'Langkah Sheratton'. Bagaimana rakyat mahu memberikan kepercayaan kepada seseorang yang mengkhianati perjuangan rakan-rakannya serta mandat yang telah diberi oleh rakyat untuk dijadikan sebagai Perdana Menteri? Beliau juga tidak berjaya mengawal situasi semasa negara dilanda wabak covid-19. Sebagai contoh, beliau telah membenarkan Pilihan Raya Sabah dijalankan walaupun pada hakikatnya, Malaysia pada ketika itu tidak berada dalam keadaan stabil lagi untuk diadakan sebarang aktiviti yang melibatkan ramai orang. Tidak habis disitu, semua ahli politik yang pulang dari Sabah untuk berkempen tidak diwajibkan kuarantin sedangkan ketika itu rakyat masih lagi dibelenggu PKP yang membebankan. Akibatnya angka jangkitan kembali naik kerana kedunguan ahli-ahli politik dan pemimpin yang tidak bertanggungjawab ini. Kesimpulannya Tan Sri Dato' (Dr.) Haji Muhyiddin bin Haji Muhammad Yassin tidak wajar diberikan mandat oleh rakyat untuk memacu negara ke arah progresif bagi tempoh 5 tahun akan datang.
Calon yang terakhir ialah Dato' Seri Dr. Anwar bin Ibrahim. Seorang yang bercita-cita untuk memimpin Malaysia sejak sedekad yang lalu tapi apakan daya, ada sahaja halangan menduga. Walau bukan sebagai kerajaan, beliau tetap membantu sedaya yang mungkin untuk membantu masyarakat sekeliling. Contoh yang terdekat dapat dilihat ketika banjir besar melanda tempoh hari, beliau sendiri turun ke kawasan jagaannya, Port Dickson untuk memantau dan memberi pertolongan yang diperlukan. Ramai yang mengatakan bahawa Anwar Ibrahim merupakan seorang liberal dan tidak layak memimpin negara yang majoritinya orang Islam. Tuduhan ini semua adalah tidak berasas. Bagaimana seorang liberal boleh menganjurkan idea penubuhan Bank Islam untuk menghalang orang Islam daripada terlibat dengan Riba? Bagaimana seorang yang dikatakan liberal mencetuskan idea untuk pemakaian tudung disekolah melalui Yayasan Anda Akademik? Terlalu banyak yang boleh dipersoalkan sebelum menuduh beliau sebagai seorang liberal. Bukan itu sahaja, malahan beliau juga dikenali oleh ramai pemimpin dunia seperti Recep Tayyip Erdoğan, presiden Turki, Joko Widodo, presiden Indonesia dan ramai lagi. Kewibawaan beliau amat diiktiraf dan beliau sememangnya seorang figura yang layak disegani.
Melihat kepada calon-calon di atas, tidak menjadi kesalahan untuk memilih Dato' Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri yang seterusnya kerana calon yang lain telah jelas gagal menjalankan tanggungjawab mereka semasa menyandang kerusi panas tersebut.
Ulasan
Catat Ulasan