Pasca PRU 15
Pada 19 November 2022, rakyat Malaysia telah menjalankan tanggungjawab mereka untuk mengundi. Berdasarkan data yang diperoleh Berita Harian, untuk jam 4 petang pada 19 November, seramai 70% daripada rakyat Malaysia telah keluar mengundi. Diharapkan angka tersebut bukanlah angka muktamad apabila data yang terbaharu keluar untuk keputusan keluar mengundi keseluruhan.
Bagi keputusan Pilihan Raya Umum pula, Pakatan Harapan telah tampil unggul dengan memenangi 82 kerusi diikuti oleh Perikatan Nasional sebanyak 73 kerusi. Keputusan yang seperti dijangka ditunjukkan oleh parti Gerakan Tanah Air apabila tiada kerusi berjaya diperoleh untuk pilihan raya pertama mereka manakala keputusan mengejutkan diraih oleh Barisan Nasional kerana PRU-15 menjadi detik bersejarah buat mereka apabila parti itu tidak lagi menjadi pilihan kebanyakan rakyat Malaysia selepas mereka hanya berjaya memenangi 30 kerusi berbanding semasa PRU-14 iaitu sebanyak 79 kerusi. Berlakunya perkara ini disebabkan imej parti Barisan Nasional telah dicemari oleh beberapa ahli politik dari parti tersebut yang terpalit dengan isu rasuah seperti Dato' Seri Zahid Hamidi dan juga Najib Razak. Insiden-insiden itu juga telah dijadikan sebagai modal yang digunakan oleh parti-parti lain dengan menyuntik sentimen penolakan rasuah di dalam kempen-kempen mereka dan ternyata perkara itu berhasil menumbangkan sebuah parti yang dahulunya gah sehingga mampu memegang tampuk pemerintahan selama lebih daripada 60 tahun. Lagi perkara mengejutkan telah berlaku apabila PAS yang bertanding di bawah panji Perikatan Nasional telah memperoleh 49 kerusi menunjukkan peningkatan sebanyak 172.22 peratus berbanding PRU-14 dengan hanya berjaya memperolehi 18 kerusi.
Disebabkan tiada parti yang berjaya memenangi kerusi majoriti mudah iaitu 112 kerusi, maka Malaysia terpaksa menggantung parlimen selama 4 hari. Hal yang demikian merupakan satu lagi detik bersejarah untuk negara ini apabila ia terjadi buat kali pertama setelah 14 kali Pilihan Raya Umum dilakukan. Parlimen tergantung telah menyebabkan banyak drama yang terjadi dan antaranya ialah ucapan daripada calon Perdana Menteri pihak Perikatan Nasional yang telah mengumumkan bahawa mereka akan bergabung dengan parti lain iaitu Barisan Nasional dan GPS untuk mencapai angka majoriti. Walau bagaimanapun, Pengerusi Barisan Nasional telah mengeluarkan kenyataan yang parti itu tidak akan memberikan sokongan kepada mana-mana parti sama ada Pakatan Harapan ataupun Perikatan Nasional dan mana-mana ahli parlimen dari parti itu yang menandatangani akuan bersumpah untuk menyatakan sokongan terhadap Perikatan Nasional akan menyebabkan mereka kehilangan kerusi. Hal yang tersebut telah menimbulkan banyak persoalan kerana kem Perikatan Nasional pada awalnya telah mengumumkan bahawa ahli-ahli parlimen yang telah memenangi kerusi untuk Barisan Nasional telah menandatangani SD ataupun akuan bersumpah untuk menyokong Perikatan Nasional bagi membentuk kerajaan. Perkara sedemikian rupa sepatutnya tidak berlaku kerana sistem politik di Malaysia ini menggunakan sistem "En Bloc" yang memperlihatkan jika sesebuah parti itu ingin menyatakan sokongan terhadap parti lain, keputusan tersebut mestilah mewakili satu parti, bukannya secara persendirian dan ia jelas tidak berlaku serta boleh disimpulkan bahawa, telah adanya acara tawar-menawar di antara parti Perikatan Nasional dengan ahli-ahli parlimen dari Barisan Nasional secara persendirian.
Drama parlimen tergantung ini terus berlarutan dan memaksa Yang di-Pertuan Agong untuk meminta nasihat daripada Majlis Raja-Raja dalam usaha untuk melantik Perdana Menteri Malaysia yang ke-10. Hasil daripada rundingan tersebut, Yang di-Pertuan Agong menasihati agar dibentuk kerajaan perpaduan hasil daripada penyatuan beberapa parti politik yang lain walaupun bukan bernaung di bawah panji yang sama. Selepas GPS menyatakan pendirian mereka untuk menyokong calon Pakatan Harapan Dato' Seri Anwar Ibahim sebagai calon Perdana Menteri, Barisan Nasional yang pada mulanya ingin mengambil inisiatif untuk menjadi pembangkang akhirnya perlu akur dengan titah Yang di-Pertuan Agong dan turut memberi sokongan kepada Pakatan Harapan untuk membentuk sebuah Kerajaan Perpaduan. Di sisi lainnya, PAS yang pada awalnya masih bertimbang-timbang untuk menyertai Kerajaan Perpaduan ini memutuskan untuk tidak menyatakan sokongan mereka melalui kenyataan Presiden mereka, PAS komited untuk menjadi pembangkang bagi menjalankan dasar "check and balance" agar kerajaan dapat berfungsi dengan baik.
Pada 24 November 2022, Dato' Seri Anwar Ibrahim telah mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-10. Hal ini sekaligus menamatkan penantiannya selama 24 tahun untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia. Seusai beliau mengangkat sumpah, beliau telah menyatakan kepada pihak media yang usul pertama apabila dewan rakyat bersidang pada 19 Disember nanti ialah usul undi percaya. Kenyataan tersebut dibuat susulan keraguan yang ditimbulkan oleh pihak Perikatan Nasional tentang sokongan parti-parti politik terhadap Dato' Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri. Disamping kenyataannya yang berani itu, Dato' Seri Anwar Ibrahim dinasihati oleh orang ramai untuk berhati-hati kerana kerajaan yang dibinanya ini amatlah rapuh dari segi sokongannya dan bila-bila sahaja mana-mana pihak boleh berpaling tadah.
Kesimpulannya, tahniah kepada Dato' Seri Anwar Ibrahim kerana telah menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-10 dan takziah juga kepadanya kerana sudah pasti tanggungjawab dan cabaran yang besar menanti dalam usaha membina negara Malaysia yang lebih baik. Di samping itu, Pilihan Raya ke-15 telah mengajar kita untuk tidak taksub untuk berpolitik kepartian. Sebagai contoh, terdapat segelintir pihak telah melontarkan fitnah-fitnah kepada pihak lain hanya kerana mereka berbeza pendapat tetapi pada akhirnya kita dapat lihat parti-parti politik terpaksa menggadaikan prinsip mereka supaya kerajaan dapat dibentuk. Dinasihati terutamanya golongan muda untuk bersederhana dalam berpolitik kerana dikhuatiri akan menyebabkan pecah-belah dan menganggu keharmonian negara.
Tulisan yang amat baik dan patriotis
BalasPadamTerima kasih kerana sudi menjengah ke laman blog saya
Padam