Ulasan Siri: After Life





    

After Life mengisahkan seorang lelaki pertengahan umur yang bekerja di sebuah syarikat penerbitan akhbar bernama Tony Johnson yang kematian isterinya akibat kanser. Sebelum meninggal dunia, isterinya Lisa telah merakamkan beberapa video agar suaminya dapat menonton video-video tersebut setelah dia meninggal dunia. Tony akan menonton video yang dirakam oleh isterinya itu setiap malam sebelum dia tidur. Selepas kematian isterinya, Tony mengambil langkah untuk tidak mempedulikan perasaan sesiapa dan hanya menjalankan kehidupan seharian dengan kekosongan. Dia tidak kisah lagi jika dia akan mengguriskan perasaan sesiapa kerana dia beranggapan hidupnya tiada makna lagi dan dia telah kehilangan sebab untuk terus hidup. 

    Siri ini bertemakan kekosongan yang dirasai seseorang setelah seseorang yang betul-betul disayanginya meninggal dunia. Siri ini mempunyai tiga musim dan untuk pengenalan dalam musim pertama, siri ini telah memperkenalkan satu watak yang bernama Sandy. Sandy merupakan seorang gadis jelita yang baru sahaja diterima masuk oleh syarikat Tony bekerja dan dia telah dipertanggungjawabkan kepada Tony untuk mengajarnya tentang alam pekerjaan ataupun dalam bahasa yang mudah difahami ialah menjadi mentor kepada Sandy. Sandy dan Tony telah pergi dari satu tempat ke satu tempat untuk mencari berita yang boleh dimasukkan dalam akhbar mereka. Sepanjang mereka bekerja sebagai satu pasukan, mereka telah menemu ramah pelbagai jenis orang dengan pelbagai jenis ragam. Ada yang menceritakan pengalaman yang melucukan, ada juga yang berperangai pelik dan ada yang menceritakan tentang kesedihan mereka. Siri ini juga memperlihatkan Tony membuat ramai kawan baharu secara tidak sengaja dan telah menjadikan siri ini lebih menarik seperti dia telah mengenali seorang jururawat bernama Emma yang merawat ayahnya di rumah orang-orang tua kerana sudah nyanyuk. Selama beberapa episod, Emma dan Tony diperlihatkan seperti ada hubungan yang istemewa walaupun Tony tidak tahu bagaimana untuk meluahkannya kerana dia tidak pasti dia boleh menyayangi Emma seperti dia menyayangi Lisa. Di akhir musim pertama, Tony akhirnya mengaku yang dia dapat rasakan sesuatu tentang dirinya dan juga Emma dan akhirnya bertindak untuk cuba meneruskan perhubungan ke peringkat seterusnya bersama Emma.

    Musim kedua memperlihatkan Tony dan Emma dalam perhubungan yang kabur sifatnya. Emma tidak tahu hala tuju perhubungannya dengan Tony dan Tony juga masih tidak dapat mehilangkan rasa kosong dalam dirinya. Pada musim ini, Tony dilihat beberapa kali cuba untuk membunuh dirinya kerana dia menganggap dirinya ialah seorang yang gagal. Walau bagaimanapun, dia selalu gagal untuk membunuh dirinya kerana tidak sanggup membiarkan anjingnya kesepian jika dia meninggal dunia. Pada akhir musim kedua ini, Tony dan Emma akhirnya berpisah dan kekal sebagai kawan rapat.

    Musim ketiga telah memperlihatkan acuan baharu telah dimasukkan ke dalam watak Tony kerana dia tidak lagi seorang yang muram sepanjang masa tetapi telah menjadi seorang yang menghargai hidupnya. Musim ketiga ini lebih tertumpu kepada masalah rumah tangga yang dihadapi oleh adik iparnya, Matt. Tony selalu mengambil peranan untuk menasihati adik iparnya itu. Pada pertengahan musim telah digambarkan Tony mula mengenali seseorang bernama Rebecca. Mereka seterusnya menjadi kawan rapat. Akhirnya, masalah Matt dapat diselesaikan dan Tony kemudiannya memilih untuk hidup bahagia dan tidak membiarkan kematian isterinya menjadi penghalang untuk dia terus hidup.

    Dari segi penggunaan bahasa. Siri ini tidak sesuai ditonton oleh golongan bawah 18 tahun kerana banyak bahasa kesat digunakan. Dari segi sinematografi pula, banyak shot yang menarik dan kecerdikan pengarah siri ini untuk menggunakan sepenuhnya potensi yang ada pada lokasi penggambaran menjadikan beberapa shot yang ditunjukkan dalam siri ini sangat estetik.

    Secara keseluruhan, siri ini amat menarik dan sesuai ditonton oleh mereka yang sedang cuba mencari sebab untuk hidup ataupun mereka yang sedang berperang dengan perasaan selepas kehilangan seseorang yang disayangi.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alaska, Negeri Yang Dijual.

Imbas Kembali: Tragedi Feri MV Sewol

Taj Mahal, Lambang Cinta Agung.