Anwar Ibrahim, Berhentinya Penantian.
Anwar Ibrahim lahir pada 10 Ogos 1947 di Cherok Tok Kun, Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Anwar dilahirkan di dalam suasana politik memandangkan kedua ibu dan bapanya merupakan tokoh dalam UMNO. Beliau merupakan bekas pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar (1960-1966) sebelum selanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang Pengajian Melayu Sastera di Universiti Malaya. Anwar dan Tun Mahathir bersama-sama memimpin persatuan pelajar dalam usaha mendesak kerajaan untuk menjaga kepentingan hak orang Melayu dan orang Islam semasa peristiwa berdarah pada 13 Mei. Anwar telah menubuhkan Angkatan Belia Islam Malaysia, ABIM dan telah menjadi presiden dari tahun 1972 hingga 1982. Beliau dan para aktivis ABIM telah menubuhkan Yayasan Anda Akademik bagi membolehkan rakyat yang tersisih meneruskan pendidikan.
Semasa berumur 27 tahun, Anwar telah dipenjarakan selama 20 bulan di bawah akta keselamatan dalam negeri, ISA kerana demonstrasi jalanan yang melibatkan seramai 5000 orang pelajar berhubung isu di Baling Kedah. Anwar kemudiannya telah bersetuju untuk menyertai UMNO pada tahun 1982 yang pada masa itu dipimpin oleh Tun Mahathir. Beliau telah memenangi kerusi pada Pilihan Raya Umum pertamanya pada tahun 1982 bagi Parlimen Pematang Pauh. Pada tahun 1983, beliau telah dilantik sebagai Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan, Menteri Pertanian pada tahun 1984, pada tahun 1986, beliau dilantik sebagai Menteri Pendidikan sehingga tahun 1991 dan pada tahun 1993, Anwar dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri yang juga memikul jawatan sebagai Menteri Kewangan. Pada 19 Mei, 1997, beliau dilantik menjadi Pemangku Perdana Menteri dan Menteri dalam Negeri semasa Tun Mahathir berehat selama 2 bulan. Akibat daripada ketidaksefahaman dalam pentadbiran, hubungan antara Tun Mahathir dan Anwar Ibrahim merosot serta tindakan Anwar yang telah merubah struktur pentadbiran semasa ketiadaan Tun Mahathir telah memburukkan lagi keadaan.
Pada bulan Julai 1998, Anwar telah melancarkan kempen pembaharuan dalam struktur politik UMNO dan beliau juga telah diusir keluar dalam persidangan UMNO serta diberi pilihan untuk meletakkan jawatan atau digugurkan dari UMNO. Pada 2 September 1998, Anwar Ibrahim telah dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan kerana dianggap tidak layak untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia yang seterusnya oleh Tun Mahathir. Anwar yang kemudiannya telah mengadakan perhimpunan untuk mendapatkan sokongan dan menentang Perdana Menteri, beliau telah dicadangkan untuk ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri, ISA. Pada 29 September dan 5 Oktober 1998, Anwar telah hadir ke perbicaraan dengan mata yang lebam dan turut memakai pendakap leher. Beliau mendakwa yang dirinya telah dipukul semasa berada di bawah tahanan polis. Siasatan daripada Suruhanjaya Diraja mendapati Anwar telah diserang secara fizikal oleh Ketua Polis Negara pada masa itu, Abdul Rahim Noor. Mahkamah tinggi Kuala Lumpur akhirnya menjatuhi Anwar hukuman penjara selama 6 tahun pada 14 April 1999 berhubung penyalahgunaan kuasa dan telah menyebabkan berlakuknya pehimpunan jalanan secara besar-besaran yang disertakan laungan reformasi. Pada 8 Ogos 2000, mahkamah telah menjatuhkan hukuman penjara 9 tahun ke atas kesalahan salah laku seksual. Hukuman tersebut telah disifatkan oleh media sebagai hukuman yang mempunyai motif politik tertentu untuk mengekang kemaraan Anwar untuk membawa pembaharuan dalam politik di Malaysia. Walau bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan telah membebaskan Anwar daripada pertuduhan tersebut kerana tiada bukti yang kukuh ke atasnya.
Dalam Pilihan Raya Umum ke-12, pembangkang berjaya memenangi lebih 80 kerusi parlimen dan Barisan Nasional gagal mendapat kejayaan besar seperti edisi-edisi sebelumnya. Gabungan parti PAS, DAP dan Keadilan telah membentuk parti Pakatan Rakyat. Pada tahun 2008, Anwar kembali ke Dewan Rakyat setelah memenangi Pilihan Raya Kecil di Permatang Pauh apabila isterinya, Wan Azizah meletakkan jawatan. Setelah memenangi kerusi di Permatang Pauh, Anwar kemudiannya dilantik sebagai ketua pembangkang di Dewan Rakyat. Pada PRU ke-13, Anwar berjaya mempertahankan kerusinya di Permatang Pauh dan memimpin pihak pembangkang yang telah memenangi 91 kerusi. Pada 7 Mac 2014, Anwar dijatuhi hukuman penjara selama 5 tahun oleh Mahkamah Rayuan dan sekali gus mengenepikan keputusan tidak bersalah oleh Mahkamah Tinggi pada 2012. Mahkamah Persekutuan telah mengekalkan keputusan penjara 5 tahun atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Saiful Bukhari. Hal yang demikian telah menghilangkan kelayakannya sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh.
Skandal 1MDB yang melibatkan Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak pada ketika itu telah meruncing pada penghujung 2016. Dalam pada itu, Tun Mahathir telah kembali ke kancah politik untuk bergabung dengan Pakatan Harapan di bawah tiket Parti Peribumi Bersatu Malaysia, BERSATU. Pakatan Harapan yang menaungi parti-parti politik seperti PKR, DAP, AMANAH dan BERSATU telah memperolehi kemenangan majoriti mudah iaitu 113 kerusi daripada 222 kerusi parlimen sekali gus membolehkan mereka membentuk kerajaan baharu. Setelah lebih daripada 60 tahun, kerajaan Barisan Nasional telah berjaya ditumbangkan buat pertama kalinya dalam sejarah politik Malaysia. Tun Mahathir telah menjadi Perdana Menteri ke-7 telah berusaha sebaik mungkin untuk membebaskan Anwar Ibrahim daripada tahanan. Pada 16 Mei 2018, Anwar telah memperoleh pengampunan diraja tanpa syarat daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V dengan semua rekod kesalahan di penjara dibersihkan. Ahli Parlimen Port Dickson pada masa itu telah melepaskan kedudukannya bagi memberi laluan kepada Anwar Ibrahim. Beliau telah memenangi kerusi parlimen di Port Dickson sekali gus memungkinkan sebarang kebarangkalian untuk Anwar menjadi Perdana Menteri yang seterusnya. Walau bagaimanapun, sehingga Februari 2020, Anwar masih belum dilantik sebagai Perdana Menteri seperti yang dijanjikan. Hal tersebut telah menyebabkan berlakunya kemelut politik dan pengkhianatan yang menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan terpaksa dibubarkan. 26 ahli parlimen BERSATU dan 11 ahli parlimen dari PKR menarik diri dari Pakatan Harapan yang menyebabkan Tun Dr Mahathir meletakkan jawatannya sebagai Perdana Menteri Malaysia pada 20 Februari 2020. Gabungan Perikatan Nasional pula berjaya memperolehi majoriti mudah untuk membentuk kerajaan baharu bagi melantik Perdana Menteri ke-8, Muhyiddin Yassin. Namun, beliau juga terpaksa meletakkan jawatan pada 16 Ogos 2021 selepas beliau juga turut kehilangan majoriti. Pada 21 Ogos 2021, jawatan Perdana Menteri Malaysia diambil alih oleh Ismail Sabri Yaakob yang mewakili Barisan Nasional.
Dalam PRU ke-15, Anwar bertanding untuk kerusi parlimen di Tambun dan terpaksa berdepan dengan cabaran yang hebat. Walau bagaimanapun, Anwar tetap berjaya menewaskan seteru kuatnya, Faizal Azumu untuk merampas kerusi parlimen di Tambun. Setelah beberapa hari parlimen mengalami penggantungan akibat daripada tiada parti yang mendapat majoriti mudah, Yang di-Pertuan Agong akhirnya berkenan untuk menubuhkan kerajaan perpaduan yang terdiri daripada Pakatan Harapan, Barisan Nasional, GRS, GPS dan beberapa parti bebas lain. Anwar Ibrahim telah dinamakan sebagai calon Perdana Menteri dan YDPA telah berkenan untuk melantik beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-10.
Anwar Ibrahim telah mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 di Istana Negara pada petang 24 November 2022. Dalam sidang mediaa pertamanya sebagai Perdana Menteri Malaysia, beliau menjamin yang Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, agama Islam sebagai agama persekutuan, hak istimewa orang Melayu dan kedudukan raja-raja serta hak semua rakyat Malaysia sebagai waganegara tidak akan diganggu gugat.
Kesimpulannya, Anwar Ibrahim ialah seorang figura politik yang telah mengharungi perjuangan yang panjang dan perjalanan yang penuh dengan onak duri. Sifat berjiwa besar dan dan mesra beliau disenangi oleh rakyat. Sejurus perlantikan beliau sebagai Perdana Mneteri ke-10, ramai di antar pemimpin-pemimpin dunia yang mengucapkan tahniah kepadanya dan berhasrat untuk terus mengukuhkan hubungan baik dengan Malayisa. Hal ini telah memberi isyarat pertama untuk memulihkan ekonomi negara. Semoga beliau mampu memacu negara Malaysia ke arah yang lebih progresif.
Ulasan
Catat Ulasan