2022, Tahun Gemilang Buat Harimau Malaya.

    
    Pada 14 Jun 2022,  pasukan Harimau Malaya telah mengesahkan kedudukan mereka bersama-sama 23 lagi negara Asia elit yang lain untuk bertanding dalam Piala Asia pada tahun 2023. Kemaraan pasukan negara adalah hasil daripada menduduki tempat kedua dalam kumpulan selepas berjaya mengumpul 6 mata daripada 9 mata yang ditawarkan. 6 mata tersebut berjaya diperolehi daripada kemenangan ke atas pasukan Tajikistan dan Bangladesh dan tercicir lagi 3 mata di tangan pasukan Bahrain selepas tewas tipis dengan skor 1-2. Skuad kendalian Kim Pan Gon telah melakar sejarah apabila berjaya melayakkan diri ke Piala Asia secara merit selepas kali terakhir pasukan negara layak ke kejohanan berprestij itu secara merit pada tahun 1980. Semua ini bertitik tolak daripada pelantikan ketua jurulatih yang baharu dari Korea Selatan iaitu Kim Pan Gon. 
    Kim Pan Gon telah dilantik sebagai ketua jurulatih bagi skuad bola sepak lelaki negara pada 21 Januari 2022 sejurus pemecatan ketua jurulatih terdahulu, Tan Cheng Hoe. Pelantikan beliau adalah untuk meneruskan misi negara supaya kekal menjadi pencabar terkuat di peringkat Asia Tenggara selepas kegagalan pasukan kebangsaan untuk melepasi peringkat kumpulan semasa kejohanan AFF edisi 2020. Kim Pan Gon sememangnya seorang jurulatih yang berpengalaman dan amat mengerti dengan selok belok bola sepak di Asia. Hal yang demikian adalah kerana pada 2005, beliau antara jurulatih terawal dari negara Korea Selatan yang berjaya memperolehi lesen kejurulatihan peringkat AFC. Berbekalkan dengan keupayaannya, beliau telah berjaya memimpin pasukan Hong Kong kepada beberapa siri kemenangan dari tahun 2011 hingga tahun 2017. Pada tahun 2017, beliau telah meletakkan jawatannya sebagai ketua jurulatih pasukan Hong Kong untuk menjadi naib presiden Persatuan Bola Sepak Korea Selatan (KFA). Semasa memegang jawatan tersebut, beliau telah menekankan penggunaan sains sukan dalam pelbagai aspek seperti rawatan pemulihan dan pemantauan kecerdasan pemain. 
    Di bawah kendalian Kim Pan Gon, Malaysia setakat ini telah berjaya memenangi 10 perlawanan daripada 14 perlawan yang diharungi. Bukan itu sahaja, Malaysia telah naik ke ranking 145 dunia berbanding semasa beliau baru dilantik iaitu 154 dunia . Hal yang demikian membuktikan Kim Pan Gon ada magisnya yang tersendiri kerana Malaysia berjaya mengatasi negara Asia lain seperti Kuwait, Indonesia, Maldives dan Yemen. 
    Cukup tentang Kim Pan Gon, penulisan ini juga ingin memberi penghargaan yang setinggi-tingginya kepada para pemain yang berjuang habis-habisan demi lencana di dada. Safawi Rasid antara pemain yang merupakan tunjang utama pasukan. Beliau telah membuktikan yang dirinya masih berbisa dan masih boleh diharapkan di persada antarabangsa walaupun tidak mempunyai minit permainan yang banyak. Bukan itu sahaja, beliau telah keluar daripada zon selesa apabila bukan hanya bermain di sayap kanan tetapi beberapa kali juga beliau telah bermain sebagai penyerang tunggal dan juga sebagai pemain tengah menyerang.
    

    Tidak lupa juga kepada muka-muka baharu yang tidak dijangka telah menjadi tonggak utama untuk kejayaan Harimau Malaya pada tahun 2022. Antara pemain tersebut ialah Khuzaimi Piee yang beraksi cemerlang sebagai pertahanan dan Syihan Hazmi yang tangkas menepis bola daripada memasuki gawang gol. Penulis percaya, peminat tidak pernah menyangkakan bahawa kelibat sosok yang jarang didengari ini akan beraksi sebaik itu. Maka, wajarlah pujian diberikan kerana mereka telah melangkaui jangkaan semua orang. 
    Tulisan ini ditutup dengan harapan pasukan Harimau Malaya dapat beraksi dengan baik pada pertandingan Piala Asia 2023 nanti dan perlu diingati bahawa kejayaan melangkah ke Piala Asia bukanlah penanda aras yang skuad ini sudah berjaya namun hanyalah langkah kecil untuk menuju kejayaan yang lebih besar seperti memenangi kejohanan tersebut dan melangkah ke saingan Piala Dunia. 




 

Ulasan

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alaska, Negeri Yang Dijual.

Imbas Kembali: Tragedi Feri MV Sewol

Taj Mahal, Lambang Cinta Agung.