Duan Nago Bogho

 

Tema: Mengisahkan Duan, seorang pemain Makyung tersohor yang dihalau oleh ibu bapanya ke Kuala Lumpur kerana dianggap ingin merosakkan seni Makyung selepas bergaduh dengan penonton semasa bermain Makyung.

Watak perwatakan: 
Duan: Seorang pemain Makyung yang berpengalaman dan juga handal dalam berlawan.
Awi: Sahabat lama Duan yang memberikan kerja dan tempat tinggal kepada Duan.
Nulik: Kenalan lama Duan tetapi seorang yang turut terlibat dalam dunia gangsterisme apabila berpindah ke Kuala Lumpur.
Jimmy: Seorang yang berasal dari kelantan dan sudah lama menetap di Kuala Lumpur.
Nancy: Anak kepada Jimmy dan mendapat pelajaran dari sebuah universiti di Bangkok. Pulang untuk membuat kajian yang lebih mendalam terhadap seni Makyung.
Low: Bapa saudara kepada Nancy.
Pok Su Ki: Seorang yang dianggap sebagai "payung" kepada orang-orang kelantan di Kuala Lumpur.
Fendi: Seorang gangster yang yang mahu membunuh Nancy kerana hanya Nancy yang mempunyai bukti tentang kes pembunuhan yang dilakukannya.

Permulaan
    Filem ini dimulakan dengan babak Duan sedang menjalankan tanggungjawabnya sebagai pemain Makyung untuk melakukan persembahan. Salah faham dalam kalangan penonton yang melihat persembahan itu mula tercetus dan Duan yang khuatir akan adanya pertelingkahan yang lebih besar masuk campur untuk mengawal keadaan. Walau bagaimanapun pertelingkahan tersebut menjadi lebih teruk apabila Duan mula hilang sabar dan mula beradu tenaga dengan beberapa penonton yang telah menyebabkan kacau-bilau. Penonton yang menjadi punca kejadian tersebut akhirnya cedera parah. Duan kemudiannya diceritakan telah diusir oleh ibu dan bapanya kerana dianggap hanya akan mengotorkan seni Makyung dengan keganasan. 
Perkembangan
    Duan kemudiannya diambil bekerja dengan kawan lamanya dahulu, Awi sebagai pembimbing pasukan Makyung yang akan melakukan persembahan di Jepun. Selain itu, dia turut dikenalkan dengan Nancy oleh Awi kerana Nancy perlu melakukan kajian terhadap Makyung. Dalam pada itu, Duan berasa kecewa kerana orang Melayu terutamanya orang kelantan tidak mampu memperjuangkan Makyung. Hal yang demikian adalah kerana Nancy yang mengkaji tentang Makyung ialah berketurunan Cina dan orang yang memainkan peranan sebagai Pakyung iaitu Salmy dalam pasukan Makyung yang dibimbingnya itu ialah dari kaum India. Pada satu hari, ketika Duan sedang membeli beberapa keperluan di pasar ada beberapa orang yang membuat kacau dan mengutuk orang-orang kelantan. Hal yang tersebut telah menyebabkan kesabaran Duan tercabar. Duan kemudiannya beradu tenaga dengan orang yang mebuat kacau tadi. Aksinya itu dilihat oleh Pok Su Ki, merupakan "payung" kepada orang-orang Kelantan di Kuala Lumpur. Beberapa detik kemudian, Pok Su Ki datang kepada Duan dan menawarkan Duan untuk bekerja di bawahnya sebagai pengawal peribadi. Duan menolak pelawaan tersebut tetapi berjanji yang dia akan membantu Pok Su Ki bila-bila dia diperlukan. Nulik, kenalan lama Duan datang ke rumahnya setelah mendengar khabar yang Duan telah berhijrah ke Kuala Lumpur. Nulik juga menawarkan Duan untuk sentiasa bersama-samanya dalam kancah gangsterisme. Duan menolak tetapi jika Nulik benar-benar memerlukan kepakarannya dalam berlawan, dia akan sentiasa bersedia. 
Perumitan
    Ketika Nancy dan Duan sedang makan di sebuah gerai, mereka didatangi oleh segerombolan penjahat yang ingin menculik Nancy. Penjahat tersebut merupakan orang upahan Fendi iaitu gangster yang sudah lama menantikan kepulangan Nancy. Hal yang demikian adalah kerana hanya Nancy yang mempunyai bahan bukti tentang kes pembunuhan yang dilakukan Fendi tujuh tahun lepas. Duan yang hairan dengan kejadian tersebut berjaya melarikan diri bersama-sama Nancy daripada penjahat-penjahat tersebut dan mahu Nancy menceritakan perkara sebenar serta sebab Nancy selalu diekori. Nancy menceritakan segala-galanya termasuk cerita tentang bagaimana dia terpaksa melakukan pembedahan plastik kerana tidak mahu dijejaki Fendi. Setelah berbincang dengan keluarganya, bapa saudara Nancy, Low menawarkan diri untuk sentiasa menemani Nancy ke mana-mana sahaja supaya keselamatannya terjamin. Pada satu hari, sebelum berangkat ke Jepun, pasukan Makyung bimbingan Duan perlu melakukan persembahan pratonton. Nancy yang mahu menonton persembahan tersebut, diiringi oleh bapa saudaranya itu. Tanpa disangka-sangka, bapa saudaranya itu telah berkomplot dengan Fendi untuk menyerahkan Nancy kepada Fendi. Setelah menyerahkan Nancy kepada orang suruhan Fendi, Low kemudiannya dibunuh kerana dikhuatiri akan belot pada masa akan datang. Jimmy, ayah kepada Nancy datang kepada Pok Su Ki dan meminta tolong untuk mencari anaknya yang telah diculik.
Klimaks
    Pok Su Ki kemudiannya menghubungi Nulik untuk memberitahu kepada Duan tentang perkara yang terjadi. Duan tanpa berlengah bersama-sama Awi pergi mencari Nancy. Setelah sampai di sebuah gudang, tempat Nancy disembunyikan, Awi memberitahu lokasi Nancy kepada Jimmy. Walau bagaimanapun, Pok Su Ki juga sebenarnya turut terlibat dalam penculikan ini dan pembunuhan Low adalah rancangannya bersama-sama dengan Fendi. Duan, Nulik dan Awi tidak menunggu lama. Mereka kemudiannya berlawan dengan orang-orang suruhan Fendi dalam usaha untuk melepaskan Nancy daripada cengkaman Fendi. Selepas lama mereka semua beradu tenaga, ramai daripada orang-orang Fendi yang cedera parah dan akhirnya Fendi memutuskan untuk membunuh Nancy. Semasa Fendi ingin menikam Nancy, Duan hadir secara tiba-tiba di hadapan Fendi dan menyebabkan Duan tertikam oleh Fendi. Apabila Fendi ingin meneruskan niatnya untuk membunuh Nancy, Fendi ditembak dari arah belakang oleh Jimmy. Pok Su Ki pula telah dibunuh oleh Nulik.
Peleraian
    Nancy dan Jimmy ingin menghantar Duan ke hospital tetapi Duan sebaliknya ingin pergi ke tempat yang dia sepatutnya berada pada waktu itu iaitu di tempat membuat persembahan Makyung bersama pasukannya. Setelah sampai, Duan terus naik ke atas pentas dan melakukan persembahan. Semasa pertengahan persembahan, Duan akhirnya rebah.
Ulasan
    Idea yang menarik kerana mengetengahkan budaya negeri Kelantan. Walau bagaimanapun, filem ini masih tidak lari daripada "selling point" yang agak klise iaitu unsur gangsterisme dan aksi. Jika diteliti filem-filem yang bertemakan budaya dan masyarakat di Indonesia, pastinya budaya itu sendir yang menjadi tunjang utama filem tersebut. Tetapi jauh berbeza di Malaysia kerana pembikin filem yang masih belum yakin dengan kebolehan penonton untuk menghadam cerita-cerita sedemikian rupa lalu memaksa diri mereka sendiri untuk kekal berada di takuk yang lama. Diharapkan pembikin filem di Malaysia mampu menjadi berani untuk mengetengahkan aspek budaya dan tradisi serta menjadikan ia sebagai cerita utama dan bukanlah hanya sebagai tempelan sahaja.
  Selain itu, sinematografi filem ini wajar dipuji kerana ia tidak kelihatan murah. Jujur, penulis mempunyai jangkauan yang agak rendah terhadap filem ini memandangkan ia filem kos rendah dan pengarahnya pula tidak berpengalaman dalam mengarahkan sebuah filem. Namun, pujian harus diberikan kerana kualiti gambarnya yang sangat cantik dan memang layak dipuji.
    Seterusnya ialah mengenai audio filem ini. Apabila sampai ke babak-babak yang memerlukan aksi ataupun babak yang menyaksikan pelakon perlu menjerit, audionya membingitkan telinga dan tidak enak untuk didengar. Dari aspek ini, ia dilihat perlu penambahbaikan yang ketara dan diharapkan tidak berulang untuk filem-filem yang akan datang.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alaska, Negeri Yang Dijual.

Imbas Kembali: Tragedi Feri MV Sewol

Taj Mahal, Lambang Cinta Agung.