Taj Mahal, Lambang Cinta Agung.

 

  Taj Mahal yang terletak di negara India bukanlah sekadar sebuah bangunan semata-mata tetapi merupakan lambang cinta agung yang diabdikan selama bertahun-tahun dan tersimpan seribu satu rahsia. Taj Mahal merupakan salah satu bangunan yang unik sehingga dikategorikan sebagai tujuh keajaiban dunia. Bangunan ini merupakan binaan yang ditaja penuh oleh Maharaja Mughal, Shahabuddin Muhammad Shah Jahan iaitu lelaki yang dianggap oleh sejarawan sebagai Maharaja Mughal yang paling berkuasa. 
  Pembinaan Taj Mahal merupakan bangunan yang dibina oleh Shah Jahan sebagai tanda untuk memperingati isterinya, Mumtaz Mahal yang meninggal dunia akibat komplikasi ketika melahirkan anak ke-14 mereka, Gauhara Begum. Bangunan yang tersergam indah ini merupakan inspirasi daripada ketinggian cinta Shah Jahan terhadap isterinya itu. Walau bagaimanapun, ketaksuban Shah Jahan terhadap binaan ini telah memberi tekanan besar kepada kedudukan kewangan Empayar Mughal yang seterusnya membawa kepada kejatuhan empayar tersebut dan memberi laluan kepada Aurangzeb untuk memerintah Empayar Mughal.
    Empayar Mughal merupakan sebuah kerajaan Islam yang mempunyai asal-usul mongol dan Babur daripada keturunan Gengis Khan sebagai pengasasnya. Dari tahun 1526 hingga 1857, Empayar Mughal telah mencapai kemuncaknya dan merupakan empayar terkaya di dunia pada ketika itu. Jajahan takluknya merangkumi sebahagian kawasan Iran dan Afghanistan, Pakistan, Uzbekistan serta sebahagian besar kawasan India. Pemerintah Mughal juga dikenali kerana mempunyai citarasa yang tinggi dari segi kesenian, bertoleransi terhadap orang bukan Islam, kekuatan ketenteraan dan aktiviti perdagangan yang pesat. Sebelum Shah Jahan berkahwin dengan Mumtaz Mahal, beliau telah berkahwin dengan seorang puteri dari Dinasti Safavid dan beliau juga telah berkahwin dengan seorang puteri bangsawan Mughal, bernama Izz-Un-Nissa Begum selepas beberapa tahun mengahwini Mumtaz Mahal. Walau bagaimanapun, kedua-dua perkahwinan ini hanyalah perkahwinan politik bagi mengukuhkan kedudukan Empayar Mughal berbeza dengan perkahwinan antara Shah Jahan dan Mumtaz Mahal kerana perkahwinan mereka berdua dibina atas dasar cinta. 
    Semasa pemerintahan Shah Jahan, beliau banyak memberi fokus terhadap pembinaan monumen-monumen indah sekali gus meneruskan tradisi pemerintah Empayar Mughal yang seterusnya. Antara projek yang sering diberi perhatian olehnya pada masa itu ialah Kubu Agra dan Kubu Lahore yang dikenali kerana mempunyai dinding marmar dan jubin indah. Mumtaz Mahal meninggal dunia semasa ketiadaan Shah Jahan yang menggerakkan kempen ketenteraan Mughal di Deccan. Shah Jahan terlalu terkesan  akan hal tersebut dan kemudiannya hanya memberi fokus kepada pembinaan Taj Mahal. Rekod sejarah menunjukkan pembabitan beberapa orang figura semasa pembinaan bangunan ini termasuklah Ismail Khan yang direkrut untuk menghasilkan kubah Taj Mahal disebabkan hasil kerjanya yang berkualiti di Turki. Sementara itu, tiga figura dari Shiraz iaitu Amanat Khan, Mukrimat Khan dan Mir Abdul Karim yang merupakan pakar kaligrafi dan pentadbir awam diambil untuk kerja-kerja kaligrafi dan pengurusan projek. Lebih 20,000 orang buruh dan 1000 ekor gajah diperlukan untuk menyiapkan Taj Mahal dan bagi memastikan peruntukan Taj Mahal tidak diganggu oleh masalah kewangan, ia dibiayai menerusi pelaksanaan cukai yang amat tinggi. Tempoh pembinaan Taj Mahal mengambil masa lebih kurang 21 tahun dan telah menjadi detik hitam kepada ekonomi Empayar Mughal kerana rakyat terpaksa membayar cukai yang mahal hanya untuk membiayai kos pembinaan bangunan tersebut.
    Walau bagaimanapun, selepas Taj Mahal siap dibina, ia menjadi sebuah simbol untuk negara India dan diangkat sebagai antara monumen terindah sepanjang zaman. Pada masa sekarang, kompleks Taj Mahal terletak dalam kawasan seluas 42 ekar yang dikelilingi oleh sebuah dinding besar. Untuk memasuki kompleks ini, pengunjung perlu melalui pintu gerbang tiga tingkat yang dikenali sebagai Iwan. Struktur besar ini diperbuat daripada batu pasir merah dengan muka bangunan diperbuat daripada marmar. Keseimbangan amat penting dalam pembinaan monumen ini. Batu marmar yang digunakan dalam pembinaan Taj Mahal ini sangat unik kerana akan berubah warnanya mengikut perubahan masa. Sebagai contoh, warna putih akan terpancar pada waktu siang, merah jambu pada waktu petang dan apabila memasuki waktu malam, batu marmar itu akan menjadi lut cahaya. Bahagian dalamannya pula dibina menggunakan batu-batu berharga dan dihiasi menerusi ukiran-ukiran geometri serta lukisan-lukisan alam semula jadi yang indah. 
    Selepas pembinaan Taj Mahal siap, Shah Jahan jatuh gering pada tahun 1658 dan mengisytiharkan dirinya tidak mampu untuk mentadbir kerajaan. Shah Jahan kemudiannya mangkat pada tahun 1666 dan jenazahnya dikebumikan bersebelahan Mumtaz di Taj Mahal.
    Kesimpulannya, pembinaan monumen Taj Mahal merupakan salah satu pencapaian paling signifikan yang ditinggalkan oleh Shah Jahan.

Ulasan

  1. Sangat kagum dengan keagungan cinta Shah Jahan :) hehe

    BalasPadam
    Balasan
    1. Insya-Allah akan ada "Shah Jahan" yang sudi mendampingi "Mumtaz" yang seorang ini.

      Padam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alaska, Negeri Yang Dijual.

Imbas Kembali: Tragedi Feri MV Sewol