Imam Ghazali, Penyelamat Pada Zamannya.
Imam Ghazali hidup ketika zaman kejatuhan dunia Islam. Penganut Batiniyyah yang telah memudaratkan kerajaan Islam terus menerus menyerang Kerajaan Abbasiyah yang merupakan kubu terakhir buat kerajaan Islam pada masa itu. Walau bagaimanapun, pada masa itu semua puak di Turki sudah mula memeluk Islam dan Empayar Seljuq telah berjaya mematahkan niat jahat Batiniyyah. Kemudiannya, penganut Batiniyyah mula menyebarkan penipuan dan ajaran sesat kepada masyarakat. Hal yang demikian telah menyebabkan kegusaran dalam kalangan ulama kerana penipuan yang disebarkan dikuatiri akan menggoyahkan kepercayaan orang-orang Islam. Pada waktu ini, dunia Islam amat memerlukan penyelamat. Seseorang yang mampu mematahkan segala penipuan ini dengan yang hujah-hujah bernas berlandaskan ajaran agama Islam yang sebenar.
Imam Ghazali lahir di sebuah bandar di Iran iaitu Tus. Beliau kemudiannya berhijrah ke sebuah bandar yang lain iaitu Gorgan untuk mendapatkan pelajaran. Selepas 5 tahun di sana, beliau bersama-sama sahabatnya yang lain pulang ke tempat asalnya. Walau bagaimanapun, semasa dalam perjalanan pulang, Imam Ghazali dan sahabat-sahabatnya telah terjumpa dengan beberapa orang penyamun menyebabkan mereka hilang segala-galanya termasuklah tulisan-tulisan beliau yang telah dikarang hasil daripada pembelajarannya selama 5 tahun. Disebabkan kerisauan yang beliau akan hilang segala sumber ilmunya yang ada dalam tulisan-tulisan itu, beliau bertindak mengikuti penyamun-penyamun itu dan memberitahu kepada kepala penyamun itu yang mereka boleh ambil semuanya tetapi perlu memulangkan segala penulisan yang bernilai 5 tahun pengajian itu. Ketua penyamun itu tadi telah mengeluarkan kata-kata yang telah menjadi titik tolak dalam hidup Imam Ghazali: "Kamu mendakwa yang kamu tahu tapi kurang pengetahuan apabila saya mengambil tulisan-tulisan ini daripada kamu, kamu tidak mempelajarinya menggunakan hati tetapi mempelajarinya menggunakan nota-nota kamu." Tiada siapa yang dapat menjangkakan kata-kata tersebut mampu terlahir daripada seorang penyamun. Walau bagaimanapun, Imam Ghazali menganggap kata-kata itu sebagai amaran daripada Allah. Dalam jangka masa 3 tahun, beliau telah menghafal semua tulisan-tulisannya. Beliau tidak lagi bergantung kepada teks dan nota pelajarannya. Beliau kemudiannya bercita-cita untuk teruskan belajar dan mengembara ke Nishapur lalu menjadi anak murid kepada Imam al-Haramayn al-Juwayni, seorang ulama kalam terkenal pada waktu itu. Imam Ghazali telah menelaah bermacam-macam bidang termasuklah perundangan Shafi'i, akidah, logik dan kebijaksanaan serta falsafah.
Nizam al-Mulk telah menjemput Imam Ghazali ke Baghdad bagi tujuan memulihkan akidah umat Islam. Di sana, Imam Ghazali telah dilantik sebagai pengetua di al-Nizamiyya yang merupakan antara pusat pengajian tinggi terawal di dunia. Pada waktu ini juga, beliau telah mengkaji bagaimana cara orang-orang Batiniyyah berfikir dan sepanjang kajiannya itu, beliau telah mendapati terlampau banyak ketidaksempurnaan dalam idea-idea falsafah barat seperti Aristotle, Plato dan Socrates. Beliau juga sedar yang falsafah-falsafah barat telah diserap masuk ke dalam ajaran Batiniyyah yang kemudiannya cuba untuk merosakkan Islam. Setelah menyaksikan bagaimana penganut Batiniyyah cuba memutarbelitkan ajaran Islam, Imam Ghazali tampil untuk memperbetulkannya semula.
Imam Ghazali telah menulis sebuah buku bertajuk Maqasid al-Falasafah yang bermaksud Matlamat Ahli Falsafah. Buku ini menerangkan tujuan falsafah itu sendiri dengan penuh teliti. Melalui cara ini, beliau telah disenangi dan dikenali oleh para filsuf. Beliau dikenali kerana tiada siapa yang mampu memberikan informasi seteliti itu berkenaan dengan falsafah. Beliau kemudiannya diangkat sebagai ahli falsafah yang amat kompeten dan prolifik. Sekitar masa ini juga, beliau telah melakukan sesuatu tidak dijangka oleh sesiapa pun. Beliau telah menulis sebuah buku Tahafut al-Falasifa yang membawa maksud Ketidakselarasan Ahli Falsafah. Beliau telah mengutuk beberapa sekolah falsafah dan juga beberapa pandangan daripada ahli falsafah yang lain dengan mengatakan bahawa idea serta pandangan daripada ahli falsafah tidaklah berdasarkan sains ataupun ujikaji tetapi hanyalah melalui anggapan dan andaian. Beliau juga mengkritik ahli falsafah pada masa itu kerana mengandaikan tanggapan mereka sebagai kebenaran yang mutlak. Beliau telah menggunakan falsafah untuk mematahkan falsafah yang lain dan beliau juga mahu menyampaikan bahawa agama sahaja yang berhak serta layak untuk menyampaikan kebenaran mutlak dan bukannya falsafah. Buku ini kemudiannya dianggap sebagai salah satu karya agung dalam dunia falsafah.
Sementara itu, Hassan-i Sabbah, ketua penganut Batiniyyah pada masa itu mengisytiharkan dirinya sebagai maksum dan tidak akan berdosa serta sebagai seseorang yang tindakannya tidak boleh dipersoal. Dia juga telah mendakwa dirinya sebagai Imam yang tidak bersalah. Dakwaan-dakwaan ini kemudiannya sampai ke telinga Imam Ghazali dan beliau dengan pantas menolak segala dakwaan ini dengan menulis sebuah buku bertajuk Fada'ih al-Batiniyyah yang bermaksud Keburukan Batiniyyah. Dalam buku ini beliau telah menerangkan ajaran agama Islam yang sebenar dan menyingkirkan segala perbuatan syirik dan ajaran sesat yang dipengaruhi daripada sumber-sumber luar daripada Ahli sunnah wal-jamaah begitu juga dengan falsafah dari tamadun Yunani. Selepas itu, beliau telah menulis sebuah lagi buku bertajuk Ihya' Ulum al-Deen yang bermaksud Kebangkitan Semula Ilmu-ilmu Agama yang berfungsi sebagai alat untuk membina semula negara Islam. Buku ini mempunyai maklumat-maklumat penting mengenai Islam dan sememangnya diperlukan pada waktu itu.
Dalam segala kekalutan yang diselimuti nafsu untuk menjatuhkan dan menyesatkan orang Islam, Imam Ghazali mara ke hadapan dan telah berjaya memurnikan semula ajaran Islam kepada jalan yang benar. Kejayaan yang telah dikecapinya itu telah mendapatkan beliau gelaran "Hujjat al-Islam" yang bermaksud Bukti Islam. Figura sepertinya telah memberikan pengajaran kepada umat Islam untuk menjadi berani mendepani segala cabaran dan tidak takut untuk keluar dari zon selesa dalam usaha memperolehi ilmu.
Ulasan
Catat Ulasan